Muhammad Abdullah Hakim – Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan | Kelantan Foundation for the Disabled
 

Muhammad Abdullah Hakim

 

30hb. Ogos 2015 –  Muhammad Abdullah Hakim bin Mohd Sobri, 4 tahun terlibat dengan kemalangan serius sehingga beliau dimasukkan ke ICU selama 18 hari dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan. Selepas 2 bulan di HRPZ II akibat  pendarahan dalam kepala (Multiple Intracerebral Haemorrhage), Abdullah Hakim dibenarkan keluar hospital tetapi beliau mengalami masalah saraf yang serius, terlantar dan tidak dapat bergerak dan makan. Beliau hanya diberi susu melalui ‘ Ryles Tube’.

November 2016, adik Abdullah Hakim telah dirujuk ke unit Paliatif YOKUK@SAYANG HomeCare dan didaftarkan sebagai klien paliatif. Beliau menerima  lawatan mingguan  daripada unit ini untuk memberi sokongan moral kepada ibu dan keluarganya supaya  mereka tidak          berputusasa meneruskan usaha memulihkan adik Abdullah Hakim. YOKUK@Sayang Homecare membantu mereka menukar ‘Ryles Tube’ setiap 2 minggu sekali, terapi fisio secara berkala dan khidmat nasihat lain  seperti ‘positioning’, kebersihan persekitaran dan sebagainya. Mereka juga digalakkan untuk sentiasa berkomunikasi denganya dalam apa jua cara sekali pun. Ini kerana komunikasi boleh membantu  meransang pemulihan dan perkembangan mindanya.

Januari 2017,  selepas 6 minggu mendapat perkhidmatan YOKUK@Sayang Homecare adik Abdullah Hakim mampu      meminum susu dalam botol dan mengambil sedikit    makanan lembut. Alhamdulillah…

Mei 2017  adik Abdullah Hakim  mampu duduk tanpa sokongan. Latihan terapi fisio untuk melembutkan otot dan         memudahkan dia berjalan terus dilakukan setiap minggu. Proses pemulihannya menunjukkan perkembangan yang amat     positif. Beliau mampu merangkak dan mencapai barangan dengan sendiri.

Ogos 2017 Muhammad Abdullah Hakim boleh bergerak dan merangkak, memanjat  dan berjalan dengan memegang dinding  rumahnya dan mampu berkomunikasi dengan kakitangan YOKUK@Sayang Homecare. Syukur kepada Yang Maha Kuasa dan Tahniah kepada pasukan YOKUK@Sayang Homecare.Setinggi-tinggi penghargaan kepada penaja utama YOKUK@Sayang Homecare  iaitu Yayasan Sime Darby (YSD).