Harraz Irfan dilahirkan dengan pelbagai jenis komplikasi. Dia lahir dengan C-section dan dimasukkan ke wad neonatal ICU selama hampir 3 minggu selepas mengalami kekejangan.
Menjangkau umur 4 bulan, dia tidak mempunyai ciri-ciri seperti bayi sebaya yang lain. Dia tidak mampu untuk mengengsot dan hanya berbalik ke kiri dan kanan sahaja. Doktor kemudiannya merujuk kes ini ke klinik paediatrik dan Jabatan Pemulihan untuk menjalani terapi.
Pada pertengahan 2017, Harraz berdaftar dengan YOKUK dan mula menjalani sesi Hippotherapy, Hydrotherapy dan Terapi Fizikal.
Kami mendapati Harraz mempunyai kawalan kepala dan tulang belakang yang lemah. Justeru, dia hanya mampu baring sahaja. Kebanyakan anggota badannya mengalami kekejangan. Kawalan otot adalah lemah. Tangannya sentiasa dalam keadaan genggam, keseimbangan badan dan fokus mata yang lemah.
Pada peringkat awal sesi terapi di YOKUK, Harraz akan menangis sepanjang sesi. Dia juga tidak mahu memberi kerjasama terutamanya dalam sesi Hydrotherapy.
Namun selepas setahun menjalani terapi, Harraz telah menunjukkan perubahan yang drastik. Dia tidak lagi menangis, mampu mengawal pergerakan kepala dan tulang belakang. Kekejangan di sendi-sendi juga telah berkurangan. Dia telah mampu berdiri tanpa sokongan. Dia juga amat selesa apabila berada di dalam air yang mana ini banyak membantu kemajuannya dalam Hydrotherapy.
0 Komen