En. Aminkasfi seorang pesakit terlantar yang telah dirujuk oleh Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). Beliau didiagnosis dengan thalamic haemorrhage, strok, neurological deficit, hypertension dan strok. Beliau memerlukan sokongan intensif termasuk tiub untuk oksigen dan susu.
Justeru itu, penjagaan untuk En Aminkasfi memerlukan seorang yang profesional. Sebelum didaftarkan dengan YOKUK, beliau dijaga oleh isterinya yang hanya mempunyai asas ringkas penjagaan pesakit. Kini, setiap 2 minggu, pasukan kami akan melawat En. Aminkasfi untuk pemeriksaan fizikal, tekanan darah, pernafasan, suhu badan dan sebagainya. Ini dilakukan untuk memastikan tahap kesihatan En Aminkasfi sentiasa terkawal. Kami juga menyedut kahak melalui trakeostomi serta mengajar isterinya untuk melaksanakannya prosedur ini.
Di samping itu, kami melatih isteri En. Amin akan cara terbaik untuk mencuci, memandikan serta memberi makanan atau susu kepadanya. Begitu juga dengan cara-cara meletakkan atau menukar posisi En Amin. Ini untuk mengelakkan berlakunya kudis tekanan dan membantu peredaran darah yang sempurna. Isteri En Amin kini sudah mampu melakukan senaman ringan kepadanya secara harian. Langkah ini boleh membantu mengelakkan berlakunya kekejangan, menguatkan otot serta meningkatkan kemampuan pergerakan anggota badan.
Paling penting adalah sokongan moral yang diberikan oleh pasukan kami kepada penjaga. Menggalakkannya untuk terus berkomunikasi dengan En. Aminkasfi.
Pada peringkat awal lawatan kami En Aminkasfi hanya mampu menunjukkan isyarat tangan sahaja kepada isterinya, tetapi kini walaupun beliau masih lagi terlantar tetapi beliau telah mampu menggerakkan tangannya dengan lebih baik dan berjaya hadir ke beberapa sesi Bengkel Sokongan Ibu Bapa Penjaga yang diadakan di YOKUK.
0 Komen