Perkhidmatan

PENJAGAAN PALIATIF

LATIHAN PENDIDIKAN

KHIDMAT KEBAJIKAN

BENGKEL-BENGKEL

Perkhidmatan

Pemulihan Terapi

Terapi Individu

Untuk klien yang ingin berdikari dan bebas daripada kebergantungan untuk pengurusan diri atau aktiviti harian mereka, kami menawarkan perkhidmatan terapi yang dijalankan oleh Juruterapi Fizikal atau Juruterapi Cara Kerja yang bertauliah.

Terapi Hidro

Juga dikenali sebagai Terapi Akuatik. Ia merupakan satu senaman lembut yang dijalankan di dalam kolam yang dihangatkan. Daya apungan air membantu menampung berat badan pesakit dan mengurangkan beban dan impak, sementara rintangan daripada air membantu menguatkan otot. Bahang panas membantu meningkatkan peredaran darah dan mengurangkan kekejangan otot sekali gus membantu mengurangkan kesakitan.

Terapi Muzik, Seni dan Drama (MAD)

Dalam terapi muzik, peserta boleh mengambil bahagian dalam penghasilan rentak muzik atau hanya sebagai pendengar atau kedua-duanya. Ini merangkumi penulisan lagu, persembahan muzik, vokal dan sebagainya.

Dalam terapi ini, peserta boleh meluahkan diri mereka secara kreatif untuk menguruskan tekanan, kesedihan serta rasa kehilangan. Ia juga boleh membantu meneroka emosi serta menggalakkan komunikasi dengan orang yang tersayang.

Hippotherapy

Ini merupakan satu teknik terapi yang melibatkan penggunaan kuda dalam kaedah pemulihan. Terapi berkuda berjaya meningkatkan keyakinan diri, membina keseimbangan badan, mengurangkan kekejangan otot dan meningkatkan fokus. Ia amat bersesuaian untuk klien yang menderita strok, cerebral palsy, Down Syndrome, ADHD, masalah pembelajaran dan lain-lain lagi.

Terapi Sensori

Terapi sensori digunakan untuk membantu kanak-kanak menggunakan kesemua deria mereka – deria sentuh, hidu, rasa, penglihatan dan pendengaran. Terapi jenis ini dipercayai mampu memperbaiki kesukaran yang berkaitan dengan autisme seperti tingkah laku yang mencabar dan tingkah laku yang berulang.

Perkhidmatan

Penjagaan Paliatif

Kerjasama dengan beberapa buah hospital tempatan dan perkhidmatan kesihatan awam, juga dengan sokongan daripada penaja korporat, YOKUK mampu menyediakan khidmat penjagaan paliatif di rumah kepada pesakit-pesakit tenat yang menderita cerebral palsy, strok, kanser atau penyakit-penyakit yang mengehadkan hayat. Kami mempunyai beberapa unit yang terdiri daripada Jururawat, juruterapi fizikal dan pengamal perubatan profesional yang menjalankan rawatan ke rumah klien setiap hari tidak kira di bandar atau pedalaman dengan harapan untuk membantu mengurangkan beban yang dialami oleh pesakit dan keluarga mereka.

Perkhidmatan

Latihan Pendidikan

Kelas latihan vokasional disediakan secara harian untuk memberi latihan kemahiran khas kepada remaja OKU dalam membantu mereka hidup lebih berdikari serta menambahkan peluang dalam mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.

Latihan dalam kelas ini adalah langkah pertama untuk memberi mereka kemahiran asas pekerjaan. Klien akan diberi latihan dan panduan dalam bidang-bidang tertentu termasuk memasak, menjahit, kemahiran komputer dan sebagainya secara percuma.

Perkhidmatan

Perkhidmatan Kebajikan

Lawatan Ke Rumah

Melalui lawatan ke rumah ini, pasukan kami akan membuat penilaian awal keperluan terutamanya bagi klien yang baru berdaftar. Di samping itu, ibu-bapa dan klien akan berpeluang mendapatkan latihan bagi senaman harian di rumah.

Gotong Royong

Demi mengeratkan lagi hubungan antara YOKUK dan klien, beberapa program kerjasama seperti gotong royong dijalankan oleh YOKUK di rumah klien terpilih untuk meningkatkan kadar kebolehidupan mereka di rumah. Langkah ini berjaya mengurangkan risiko kemerosotan kesihatan yang disebabkan persekitaran, khususnya bagi mereka yang menggunakan kerusi roda.

Membina Rumah

Suatu masa dulu, YOKUK pernah bekerjasama dengan Habitat for Humanity Malaysia, sebuah organisasi yang terlibat dalam membasmi kemiskinan dengan membina kediaman yang selesa untuk OKU dan mereka yang kurang bernasib baik. Pada hari ini, YOKUK masih lagi bekerjasama dengan mana-mana penaja, individu atau badan korporat untuk membaiki rumah bagi masyarakat yang memerlukan di negeri Kelantan.

Mobil Penyayang

Bagi klien yang mempunyai kesukaran pengangkutan, YOKUK menyediakan khidmat pengangkutan mesra OKU yang dikenali sebagai Mobil Penyayang. Mobil Penyayang dilengkapi dengan lif hidraulik untuk pengguna kerusi roda. Perkhidmatan ini memberi peluang kepada klien untuk mendapatkan rawatan di hospital, menjalankan tugasan atau menghadiri majlis-majlis sosial.

Karnival YOKUK

Karnival YOKUK dianjurkan setiap tahun dengan objektif utamanya untuk mengeratkan hubungan di antara YOKUK dengan klien, kelas-kelas pembelajaran istimewa, orang ramai dan juga kakitangan-kakitangan YOKUK sendiri. Antara aktiviti yang sering diadakan adalah sambutan hari lahir untuk kanak-kanak istimewa, gerai-gerai jualan, pertandingan muzik, persembahan oleh artis jemputan, sukaneka dan cabutan bertuah.

Perkhidmatan

Bengkel

YOKUK menganjurkan pelbagai jenis bengkel untuk penjaga dan golongan profesional. Bengkel-bengkel tersebut seperti bengkel hydrotherapy, hippotherapy, sensory therapy dan sebagainya. Bengkel ini sentiasa mendapat penyertaan yang tinggi dari kalangan juruterapi-juruterapi, jururawat dan guru-guru daripada agensi-agensi di negeri Kelantan dan negeri-negeri lain. YOKUK juga berpengalaman menganjurkan Konferens Penjagaan Paliatif setiap dua tahun sekali yang mana Bengkel ini telah berjaya membawa ramai pakar yang berpengalaman untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan dengan penjagaan paliatif.

Bengkel Kerusi Roda

Bengkel ini mampu memberikan ilmu pengetahuan serta teknik pengendalian kerusi roda, posisi badan dan pergerakan kerusi roda yang betul. Ini akan dapat membantu orang kurang upaya untuk berdikari dalam urusan harian serta meningkatkan kualiti hidup.

Bengkel Hippotherapy

Hippotherapy adalah antara teknik terapi yang terbaru di Malaysia. Bengkel ini memberikan banyak maklumat terkini tentang Hippotherapy di samping mempromosi manfaat daripada Hippotherapy, penjagaan dan perawatan kuda serta pendedahan bagaimana hippotherapy dijalankan.

Parent Support Group

Dianjurkan setiap minggu oleh pasukan YOKUK untuk meningkatkan kemahiran ibu-bapa/penjaga serta memberi peluang kepada para ibu-bapa untuk bergaul. Ini dapat membantu memberi sokongan emosi yang diperlukan serta berkongsi bersama ibu-bapa lain yang turut berdepan cabaran yang sama.

Back to top

Sukarelawan, Derma, Sebarkan.

Mula Sekarang.

Email: admin@yokuk.org

Hubungi Kami: +60(9)7742033, +60(9)7743033

ms_MYMalay